Nahas Kemalangan Van Langgar Pokok – Seorang Maut, 7 Sekeluarga Cedera

Seorang pesara tentera maut manakala tujuh lagi cedera selepas van yang dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 9, Jalan Kangar-Alor Setar di kawasan Kampung Permatang Pauh, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, kemalangan itu berlaku sekitar jam 4.30 pagi dan mangsa dikenali sebagai Mohd Arshad Hanapiah, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Siasatan mendapati kesemua mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dan dipercayai sedang dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke arah Kangar seterusnya ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar untuk ke Krabi, Thailand, menurut laporan Sinar Harian.

“Semasa van ini sampai di lokasi kejadian, van dipandu Mohamad Syamel Morad, 29, ini telah terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok jenis Tunjuk Langit, yang berada di bahu kiri jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pesara tentera tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan enam penumpang lain cedera. Enam penumpang lain ini melibatkan dua lelaki dan empat perempuan berumur lingkungan 11 hingga 73 tahun,” katanya.

Kemalangan berpunca dari keadaan lokasi kejadian gelap, kurang pencahayaan lampu jalan serta hujan lebat dan permukaan jalan basah dan licin. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat, manakala tujuh lagi yang cedera mendapatkan rawatan di hospital sama.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD