3 Maut, 6 Cedera dalam Kemalangan Himpunan RXZ Members di Terengganu

Tiga maut manakala enam lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan yang membabitkan peserta himpunan RXZ Members 6.0 di Terengganu, menurut laporan Harian Metro.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, kemalangan terjadi sewaktu mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari himpunan tersebut di Marang, Kemaman dan Hulu Terengganu. Kemalangan pertama melibatkan seorang penunggang motosikal berusia 58 tahun dari Perak di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang, pada Sabtu lepas.

“Nahas kedua pula berlaku di KM 270.1, Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) Kemaman, pada Ahad, mengorbankan seorang lelaki, Mohamad Firdaus Abdul Rashid berusia 29 tahun dari Negeri Sembilan.

“Siasatan mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal yang bergesel dan terbabas kerana mengelak patung penyu yang terjatuh di atas jalan,” katanya.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian berkait rapat dengan head injury berpunca dari road traffic crash. Kemalangan ketiga pula melibatkan seorang penunggang motosikal berusia 29 tahun dari Pahang di Hulu Terengganu pada hari Ahad.

“Mangsa, Ahmad Amir Muhamad maut di tempat kejadian selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah motosikal yang berhenti di lorong kecemasan menyebabkannya terjatuh di atas jalan dan diseret lori,” katanya.

Selain itu, sebanyak 89 saman telah dikeluarkan dan 15 motosikal telah disita dalam operasi yang dilakukan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak dan sekitar daerah Kuala Terengganu sejak Jumaat lalu yang membabitkan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan paling tinggi direkodkan adalah ubah suai ekzos (24 kes), tiada cermin sisi (15 kes) dan aksesori tidak sempurna (10 kes). Kesemua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 89 buah motosikal dan 110 individu. Semua penugasan dan operasi berjalan dengan baik dan lancar serta tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Program Himpunan RXZ Members 6.0 yang bermula pada 13 September lalu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan telah berjaya menarik kira-kira 60,000 peserta dari seluruh Malaysia.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD