Dalam satu hantaran di laman Facebook Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, beliau mencadangkan agar kerajaan menimbang semula program “Cash for Clunkers” untuk tangani isu lambakan kereta lama dan terbiar.
Ideanya adalah untuk membenarkan orang ramai melupuskan kenderaan lama, yang tidak digunakan atau tidak selamat, dengan menukarnya kepada rebat tunai. Beliau percaya langkah ini dapat membantu menyelesaikan masalah kereta terbengkalai, merangsang industri automotif, serta mempromosikan perlindungan alam sekitar melalui pengurangan karbon.
Menurut laporan Paultan, konsep “Cash for Clunkers” telah wujud sejak sekian lama. Pada mulanya, ia dibangkitkan pada tahun 2009 sebagai sebahagian daripada dasar Kenderaan Tamat Tempoh, di mana kereta yang berumur 15 tahun atau lebih perlu menjalani pemeriksaan tahunan untuk memperbaharui cukai jalan. Jika gagal, kereta tersebut perlu dibaiki sehingga lulus pemeriksaan. Bagaimanapun, rancangan ini dibatalkan pada 2014 kerana penentangan daripada orang ramai.
Pada tahun 2015, Institut Automotif Malaysia (kini dikenali sebagai MARii) mencadangkan supaya polisi ini ditukar kepada skim pelupusan kereta. Ini akan menawarkan rebat sehingga RM5,000 kepada pemilik kereta berumur lebih 10 tahun yang menukarkan kereta lama mereka dengan kereta baharu. Namun, cadangan ini juga tidak dilaksanakan.
Idea ini dibangkitkan semula pada tahun 2018 oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, tetapi dibatalkan juga selepas kebimbangan orang ramai terhadap faedah program tersebut.