Orang ramai diminta untuk mengambil gambar dan menularkan di media sosial sebarang kereta atau motosikal yang telah diubah suai sebagai salah satu usaha untuk mencegah kes lumba haram dan samseng jalanan, menurut laporan Astro Awani.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, semua pihak perlu terlibat sama untuk menangani isu lumba haram dan samseng jalanan yang sekian lama sudah berlaku.
“Saya minta warga Kedah, sila ambil gambar jika ternampak kenderaan sama ada kereta atau motosikal, malah basikal juga. Jika motosikal diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi, tayar sotong, brek dibuang, karburator dinaik taraf untuk merempit, ambil gambar dan tularkan.
“Jika kenderaan ini berada di jalan raya, ambil gambar dan polis akan mengesan mereka sehingga ke rumah,” katanya.
Arahan penguatkuasaan juga telah dikeluarkan di semua IPD di negeri ini terutamanya bahagian trafik dan jabatan lain yang berkenaan.
“Kita nak tangani isu ini bersama, tak mahu ada kereta atau motosikal terutamanya yang diubah suai kerana ia bukan hanya membahayakan nyawa penunggang, malah orang awam. Kita harap dengan kerjasama semua pihak, orang awam dan pihak berkuasa, semua ini dapat ditangani bersama,” katanya.