Dari Januari hingga September, Malaysia telah mencatatkan empat kes kebakaran EV. Satu berlaku semasa pengecasan, manakala tiga lagi disebabkan oleh kemalangan akibat thermal runaway, menurut laporan The Sun.
Bagi meningkatkan keselamatan, garis panduan baru mewajibkan stesen pengecas EV untuk menyediakan selimut kebakaran atau pusat kawalan kebakaran berdekatan.
Selain itu, anggota bomba sedang menjalani latihan untuk menangani kebakaran EV yang mengeluarkan gas toksik lebih banyak berbanding kenderaan biasa, yang membawa risiko tambahan terutama di kawasan tertutup.
Datuk Khirudin Drahman Hussain, pengarah bahagian keselamatan kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, menasihatkan pemilik EV untuk mengikuti manual kenderaan mereka dengan teliti bagi mengurangkan risiko kebakaran iaitu elakkan pengecasan berlebihan, memantau sesi pengecasan dan mengelakkan EV terdedah kepada haba melampau.
Memadamkan kebakaran EV boleh mengambil masa antara 5 hingga 24 jam, bergantung kepada saiz bateri. Kebakaran EV amat mencabar kerana fenomena “thermal runaway,” di mana haba tinggi menyebabkan sukar dikawal dengan pemadam kebakaran biasa.
Secara umumnya, air dan selimut kebakaran khas digunakan untuk mengawal api, tetapi ia hanya menghalang api daripada merebak, bukan untuk memadamkannya sepenuhnya.
Dr. Mohd Azman Abas dari Universiti Teknologi Malaysia menerangkan bahawa walaupun bateri litium-ion cekap, ia juga terdedah kepada panas berlebihan dan kebakaran.
Beliau menyatakan bahawa sistem pengurusan bateri (BMS) boleh mengurangkan risiko ini dengan memantau suhu, voltan, dan arus bateri. Sistem ini semakin maju, dan penyelidik sedang meneroka integrasi AI untuk meramal dan mengesan masalah sebelum ia menyebabkan kebakaran.
Perkembangan teknologi pengecasan, seperti pengecas pintar dan ciri pemutusan automatik, juga membantu mengurangkan risiko kebakaran. Namun, Khirudin menekankan bahawa keberkesanan garis panduan ini bergantung kepada penguatkuasaan yang betul, penyelenggaraan konsisten di stesen pengecas, dan pematuhan ketat kepada protokol keselamatan.