NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Motosikal Bergerak Tanpa Penunggang Tular, Rupanya Penunggang Terjatuh

Motosikal Bergerak Tanpa Penunggang Tular, Rupanya Penunggang Terjatuh

Sebuah video paparan dashcam telah tular di mana ia memaparkan sebuah motosikal bergerak tanpa penunggang di Lebuhraya Persekutuan di sini. Disangkakan kejadian mistik, rupanya penunggang motosikal tersebut telah terjatuh selepas dilanggar oleh pengguna motosikal lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, pihak polis mengesan kejadian tersebut menerusi sebuah video yang telah tular di laman aplikasi X pada jam 10.07 malam semalam.

Siasatan mendapati bahawa terdapat dua buah motosikal yang kemalangan di lorong motosikal lebuh raya berkenaan menghala ke Shah Alam, menurut laporan Sinar Harian.

“Kemalangan itu menyebabkan penunggangnya terjatuh sebelum motosikal jenis Modenas GT128 itu bergerak masuk ke laluan utama. Kejadian itu telah terakam oleh kamera papan pemuka atau dashcam sebuah kereta yang melalui laluan terbabit,” katanya.

Penunggang motosikal terbabit telah berjaya dikesan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan telah diminta untuk tampil bagi membuat laporan.

Difahamkan, mangsa cuma mengalami kecederaan di bahagian tangan dan belakang badan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan informasi boleh hubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy