Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, lebih 6,000 kematian telah direkodkan akibat kemalangan jalan raya setiap tahun dengan purata satu nyawa terkorban bagi setiap 80 minit.
Pengguna motosikal merekodkan kemalangan paling tinggi dan kerap berlaku di mana ia merangkumi hampir 70 peratus daripada jumlah berkenaan, menurut laporan Bernama.
Sementara itu, jumlah kenderaan baharu yang didaftarkan di Malaysia pada tahun lepas juga mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 799,000 buah kenderaan.
“Untuk mencapai maklumat pengurangan 50 peratus jumlah kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030, aliran transformasi melalui pemanduan merupakan strategi utama bagi mencegah kemalangan iaitu dengan cara menjadikan kecekapan pemandu atau pengguna mematuhi peraturan keselamatan jalan raya pada tahap optimum.
“Justeru, pelbagai inisiatif yang mampu mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian secara signifikan dalam masa singkat dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Institut Memandu (IM) di negara ini,” katanya.
Antara inisiatif atau dasar baharu yang telah dilaksanakan adalah pendigitalan industri Institut Memandu (IM) iaitu Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik atau e-Testing bagi membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan.
“Berdasarkan statistik rasmi JPJ, hingga kini terdapat lebih 14 juta pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) terkumpul yang aktif di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 309,284 calon LMM Kelas B2 dan 335,827 calon LMM Kelas D telah dikeluarkan kepada pemohon pada tahun lepas.
“Ini bermakna terdapat lebih 600,000 calon diberikan latihan oleh 245 IM setiap tahun menjadikan industri IM rakan kongsi strategik dan rapat kepada JPJ serta kerajaan dalam membangunkan inisiatif baharu untuk meningkatkan keselamatan serta kesedaran pemanduan di jalan raya,” katanya.