NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pemandu Lori Maut Dilanggar Lari Ketika Sedang Melintas Jalan

Pemandu Lori Maut Dilanggar Lari Ketika Sedang Melintas Jalan

Seorang pemandu lori maut dilanggar lari ketika sedang melintas jalan di Lebuhraya Timur-Barat di Kampung Panglima Bayu semalam.

Siasatan mendapati mangsa yang berasal dari Bandar Baru Putra, Perak itu sedang ingin melintas jalan dan menuju ke lorinya di seberang bahu jalan dari sebuah kedai makan, menurut laporan Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah menerima aduan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 9 malam tadi.

“Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa sedang melintas jalan dan sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti, datang dari arah Tanah Merah menghala ke Jeli melanggar mangsa. Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan tersebut.

“Mayat seterusnya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian terbabit diminta untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis. Tambahnya, pihak polis sedang giat mengesan pemandu kereta yang dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari ini.

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy