Tayar Sebuah Bas Sekolah Tenggelam Akibat Kejadian Lubang Benam

Tular di media sosial kejadian lubang benam di Taman Sri Nibong yang mengakibatkan tayar sebuah bas sekolah tenggelam baru-baru ini dan Pasukan Indah Water Konsortium (IWK) telah mengesahkan kawasan lain di sekitar lokasi kejadian lubang benam tidak mengalami kebocoran.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, pasukan IWK telah membuat pengesahan semalam selepas menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan lubang benam tersebut.

“Pemeriksaan serta pemantauan lanjut akan dijalankan oleh pasukan IWK secara berterusan bagi memastikan kejadian lubang benam tidak merebak atau berbahaya kepada penduduk setempat.

“Berdasarkan laporan awal hanya kawasan di lubang benam ini sahaja berbahaya, manakala kawasan sekitar masih selamat kerana memang tiada sebarang pergerakan atau paip kumbahan yang bocor milik IWK di situ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari, memberitahu bahawa pihak JKR daerah Barat Daya menerima laporan sekitar jam 8 pagi semalam di Jalan Lebuh Bukit Kecil 3 dengan lubang benam (sinkhole) sebesar 10 meter dan kedalaman tiga meter.

Siasatan awal mendapati terdapat tanah aktif masih terhakis dan limpahan air keluar melalui lubang tersebut, menurut laporan Kosmo!.

“Sejurus itu pihak JKR telah memasang Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dan telah menutup kawasan tersebut. IWK telah mula memasuki tapak melaksanakan kerja-kerja kecemasan pada pukul 11.30 malam semalam dan pagi ini, IWK telah berada di tapak bagi mengkaji kaedah mitigasi. Kerja-kerja pembaikan paip dijangka siap dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD