Setakat jam 3 petang tadi, aliran trafik di beberapa lebuhraya utama menghala ke Pantai Timur dan Utara sudah mula perlahan susulan ramai sudah dalam perjalanan ingin pulang ke kampung halaman sempena perayaan Deepavali.
Menurut Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan.
Selain itu, Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah dan Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar juga menunjukkan peningkatan dalam bilangan kenderaan, menurut laporan Sinar Harian.
“Aliran trafik perlahan turut dilaporkan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari Putra Height ke Seafield dan USJ ke Putrajaya.
“Selain itu, terdapat juga kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E1 arah Utara dari Tol Juru ke Seberang Jaya, ekoran kemalangan di KM138.7. Insiden telah selesai, namun trafik masih lagi perlahan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan dari Permatang Pauh ke Sungai Dua, trafik sudah mula perlahan, dan semakin bertambah dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim.
“Di PLUS E2, trafik masih terkawal perlahan di beberapa lokasi antaranya dari Senai Utara ke Kulai dan dari Dato’ Onn ke Persimpangan Pasir Gudang,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, aliran trafik di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) arah Utara masih lagi perlahan dari Puchong Utama ke Puchong Intan, Plaza Tol PJS ke Jambatan Kabel, Kelana Jaya ke SS2 dan Plaza Tol Penchala ke Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Untuk maklumat trafik terkini, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 atau pergi ke akaun rasmi @plustrafik di aplikasi ‘X’.