Sepanjang dua hari bermula Rabu, sebanyak 3,268 kemalangan jalan raya dan 39 kematian di seluruh negara telah direkodkan pada tempoh sambutan perayaan Deepavali, menurut laporan Sinar Harian.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mengikut pecahan statistik, sebanyak 1,882 kes kemalangan direkodkan pada Rabu, di mana 15 darinya adalah kemalangan maut dan seramai 16 kematian.
Manakala sebanyak 1,386 kes telah berlaku pada Khamis, di mana 23 darinya kemalangan maut dan seramai 23 kematian telah dicatatkan.
“Pecahan jumlah kematian bagi tempoh dua hari itu melibatkan motosikal sebanyak 32 orang, kereta (4 orang), lori (1 orang), basikal (1 orang) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) (1 orang),” katanya.
Secara rumusannya, kemalangan harian menurun sebanyak 496 kes. Walau bagaimanapun, kemalangan maut dan jumlah kematian menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 23 kes dan seramai 7 orang sepanjang tempoh 2 hari tersebut.
Oleh itu, JSPT menyarankan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan berhati-hati di jalan raya dengan memastikan kenderaan berada di tahap yang terbaik serta mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
“JSPT menyeru semua pengguna jalan raya merancang pergerakan terutama perjalanan yang jauh.
“Peka dengan persekitaran sekeliling dan maklumat semasa disampaikan daripada pihak agensi kerajaan juga pihak konsesi lebuh raya,” ujarnya.