Kadar Kemalangan dan Kematian Meningkat, Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula Hari Ini

Bermula hari ini, 1 November, sehingga 31 Disember, Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, operasi ini akan memfokuskan penunggang dan pemilik motosikal.

Hal ini kerana, peningkatan kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan dalam statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah membimbangkan, menurut laporan Sinar Harian.

“Kadar kemalangan melibatkan motosikal mencatatkan sebanyak 1,908 atau 70 peratus sejak akhir ini.

“Operasi ini menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, tindakan akan diambil selepas berjaya mengesan penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Fokus bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian ini melibatkan tumpuan kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan melanggar lampu isyarat merah.

“Selain itu, kesalahan lain melibatkan ubah suai kenderaan secara melampau, tidak memakai topi keledar, lumba haram serta kesalahan lain melibatkan teknikal turut sama diberi perhatian,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh melakukan secara terus menerusi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD