Pengarah Program Ilham Madani Tuntut Kerajaan RM1.3 Juta – Pelanggaran Harta Intelek Nombor Plat Madani

Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada kerajaan agar membayar ganti rugi sebanyak RM1.3 juta kerana telah melanggar harta intelek bagi Program Nombor Plat Khas Madani.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menerima surat tersebut menerusi firma guaman Raj & Sach oleh Hasan Azhari Hashim pada Isnin.

Jumlah sebanyak RM1.3 juta yang dituntut itu merangkumi separuh daripada hasil penjualan nombor plat khas MADANI dalam masa 7 hari dari tarikh penerimaan LOD berkenaan. Sekiranya gagal melakukan demikian, tindakan undang-undang akan dikenakan untuk menuntut jumlah ganti rugi berkenaan.

Berdasarkan dokumen LOD tersebut, Hasan Azhari merupakan pemilik sah karya hak cipta ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri MADANI 1 hingga 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’ yang didaftarkan secara sah, dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987, menurut laporan Sinar Harian.

“Melalui surat bertarikh 27 Februari 2023 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu surat cadangan pertama, Hasan Azhari memohon kerjasama dengan agensi kerajaan untuk penjualan nombor itu.

“Pada atau sekitar 14 April 2023, JPJ mengeluarkan kenyataan bahawa jabatan itu tidak mengeluarkan nombor pendaftaran siri MADANI dan menasihatkan orang ramai tidak percaya berita palsu,” kata LOD itu.

Sehinggalah surat cadangan kedua dan ketiga dikeluarkan dan Hasan Azhari menerima makluman bahawa cadangan itu sedang diteliti pada Februari tahun ini.

Walau bagaimanapun, permohonan tersebut tidak berjaya kerana terdapat ketetapan tidak membenarkan pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain entiti selain JPJ, katanya.

Ia bercanggah apabila JPJ mengeluarkan Notis Awam Nombor Pendaftaran Istimewa Siri MADANI dengan harga bidaan minimum bermula RM100 pada bulan lepas sekaligus jelas menunjukkan pelanggaran hak cipta beliau secara tidak sah.

“Anak guam kami mendapati, ia melanggar hak intelek dengan menggunakan, menyalin, mengedar dan mengubah tanpa kebenaran Karya Hak Cipta itu dengan menjual nombor pendaftaran khas kenderaan ‘MADANI 1-9999,” katanya.

Untuk makluman, pembidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang dibuka pada 19 hingga 23 Oktober lepas, berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM2.62 juta.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD