Sejak Op Khas Motosikal dilaksanakan bermula 1 November lalu, antara kesalahan paling tinggi yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah tiada cukai jalan dan tiada lesen memandu oleh para penunggang yang ditahan.
Berdasarkan statistik setakat 7 hari operasi tersebut dijalankan, sebanyak 59,116 motosikal telah diperiksa dan rekod sebanyak 15,828 notis telah dikeluarkan, menurut laporan Sinar Harian.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, pelbagai alasan telah diberikan oleh penunggang motosikal ketika ditahan sewaktu operasi tersebut seperti tidak sempat untuk perbaharui dan tiada masa untuk mengambil lesen.
Disebabkan itu, beliau menegaskan bahawa lesen memandu dan cukai jalan merupakan keperluan penting yang diperlukan oleh semua pengguna jalan raya. Oleh itu, semua pengguna jalan raya perlu sentiasa mengingati untuk perbaharui dengan kadar segera dan mengambil serius perkara ini.
“Sekiranya berlaku apa-apa di jalan raya akan mengakibatkan kesusahan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Perbaharui lesen dan cukai jalan. Kita akan sita motosikal yang ditahan sekiranya didapati tidak mempunyai cukai jalan, insurans serta ubah suai ekstrem dan ini yang akan dilaksanakan JPJ dalam operasi khas,” katanya.
Selain itu, Aedy turut mengumumkan bahawa sebanyak 282 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Turut dikeluarkan adalah 752 notis arah periksa dan beberapa notis lain oleh pihak JPJ.
Sementara itu, pihak JPJ juga sedang mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan dengan isu hak cipta nombor plat khas MADANI. Tambahnya, mereka sedang meneliti tindakan apa yang perlu diambil berhubung notis tuntutan terbabit.