Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah lori akibat terlanggar cermin sisi sebuah kenderaan dalam nahas yang melibatkan 3 buah kenderaan di kilometer (KM) 11, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam arah Johor Bahru, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, nahas kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal, kereta dan lori tersebut dipercayai terjadi sekitar jam 8.05 pagi.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun melalui lorong tengah dan kanan menghala ke Johor Bahru telah terlanggar cermin sisi sebuah kereta yang dipandu di lorong kanan.
“Akibat perlanggaran tersebut penunggang motosikal terbabit telah hilang kawalan dan terjatuh ke bawah sebuah lori yang sedang bergerak di lorong tengah lalu digilis tayar belakang sebelah kanan lori tersebut.
“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.
Berdasarkan laporan Sinar Harian, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang info mengenai kemalangan terbabit boleh hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ong Jon Siong di talian 011-16490168 untuk memberi maklumat.