passionately driven

Elak Ditahan JPJ, Beberapa Penunggang Motosikal Melawan Arus dalam Ops Khas Motosikal

Beberapa penunggang motosikal didapati melawan arus semata-mata untuk melepaskan diri dari ditahan pihak berkuasa ketika Operasi Khas Motosikal dijalankan di Plaza Tol Petaling Jaya, Lebuhraya Damansara-Puchong, semalam.

Walau bagaimanapun, tindakan mereka gagal kerana anggota Unit Peronda Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah bersiap sedia di lokasi sekatan terbabit.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan, operasi terbabit melibatkan seramai 58 pegawai dan anggota JPJ, 11 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan 4 kakitangan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dari jam 8 malam sehingga 11 malam.

Sebanyak 631 buah motosikal telah diperiksa dan 159 buah motosikal telah diambil tindakan membabitkan 295 kesalahan yang dikesan.

“Kesalahan tertinggi direkodkan melibatkan tiada lesen memandu sebanyak 122 kes, cukai jalan tamat tempoh (65), tiada insurans (38) serta pelbagai kesalahan teknikal (32 kes).

“Selain itu, turut direkodkan menerusi operasi ini adalah kesalahan melibatkan nombor pendaftaran (19), lain-lain kesalahan (11) dan kesalahan melibatkan sembilan kesalahan utama (tujuh),” katanya.

Azrin turut berkongsi sebanyak 3,855 notis saman telah dikeluarkan sepanjang Operasi Khas Motosikal dijalankan sejak 1 November oleh pihak JPJ.

“Pemeriksaan melibatkan sebanyak 19,362 motosikal itu merekodkan kesalahan tertinggi melibatkan teknikal seperti ubah suai ekzos dan komponen sebanyak 1,644 kes, diikuti tiada cukai jalan serta cukai jalan tamat tempoh (983) serta tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh (737).

“Selain itu, turut direkodkan kesalahan melibatkan nombor pendaftaran (302), lain-lain kesalahan (155) serta beberapa kesalahan utama (34),” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian, antara kesalahan yang popular dikesan semasa Operasi Khas Motosikal adalah kesalahan teknikal.

“Kesalahan teknikal ini antaranya ubah suai ekzos, lampu dan beberapa komponen lain, dilakukan dengan alasan kononnya menunjukkan ‘kecantikan’ motosikal kepada rakan-rakan.

“JPJ percaya antara faktor berlakunya ubah suai ini adalah terpengaruh dengan rakan-rakan selain mempercayai ia dilakukan untuk menambah kelajuan ketika menunggang,” katanya.

Operasi ini dijalankan untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal. Semua pengguna jalan raya diingatkan sentiasa peka serta bertolak ansur ketika memandu atau menunggang di jalan raya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD