Menurut Kementerian Ekonomi, kerajaan tidak berhasrat untuk membenarkan kenderaan milik bukan warganegara untuk nikmati subsidi petrol RON95.
Menurut laporan Bernama dan Sinar Harian, ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Pelaksanaan (penyasaran) subsidi RON95 pada 2025 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM3.6 bilion kepada perbelanjaan kerajaan atau pengurangan sebanyak 21.9 peratus kepada keseluruhan perbelanjaan subsidi jika hanya diberikan kepada golongan B85 dan warganegara Malaysia.
“Langkah memastikan penyasaran subsidi RON95 tidak melibatkan bukan warganegara pula akan memberi manfaat penjimatan sebanyak RM0.3 bilion (2.0 peratus) kepada kerajaan,” kata kementerian ekonomi.
Kenyataan ini ditulis oleh Kementerian Ekonomi di laman sesawang parlimen untuk menjawab persoalan sama ada kenderaan dari Brunei dibenarkan untuk mendapat subsidi RON95 atau tidak di Malaysia.
Penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan pertengahan tahun 2025 di mana ia meliputi 85 peratus rakyat yang ditentukan berdasarkan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) isi rumah.