Kes Kecurian Ferrari di Carwash: Enam Ditahan Termasuk Anak Penyanyi Popular

Enam individu termasuk seorang anak penyanyi popular telah ditahan untuk membantu siasatan bagi kes kecurian supercar jenis Ferrari di sebuah pusat cuci kenderaan di Hulu Kelang pada 17 November lalu.

Pemilik Ferrari tersebut telah membuat laporan polis selepas kenderaanya dilaporkan hilang dipercayai dicuri, lapor Kosmo!.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kerugian sekitar RM300,000 telah dialami oleh mangsa.

“Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya yang menjalankan siasatan lanjut kemudian menahan empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 33 tahun di sekitar daerah ini pada 17 November lalu.

“Tangkapan susulan dibuat tiga hari kemudian (20 November) ke atas seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun sebelum Ferrari tersebut ditemui di tempat letak kereta sebuah kediaman di Taman Tunku di sini, Sabtu lalu.

“Walau bagaimanapun, nombor pendaftaran kenderaan itu ditukar kepada nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Selain itu, seorang wanita dalam lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kereta (Ferrari) dibawa lari oleh bekas pemandu yang mendakwa tidak dibayar gaji namun kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Pelbagai barangan telah dirampas seperti 8 buah telefon bimbit, kunci Ferrari dan Kia, beg silang, pasport dan tali lanyard bersambung pisau berhulu.

Turut dirampas bersama adalah kereta Ferrari yang dicuri, Naza Suria, BMW X5, BMW, alat kawalan jauh kereta dan sebungkus plastik lutsinar bertulis ‘Diamond’.

3 suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala 2 lagi sedang direman sehingga hari ini dan seorang lagi sehingga 3 Disember untuk membantu siasatan.

“Kita sedang giat mengesan rakan penjenayah yang masih bebas,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD