Proton e.MAS7 Dilancarkan Secara Rasmi ke Dalam Pasaran Malaysia: 2 Varian, Harga Bermula RM109,800

Anak syarikat kepada Proton, Proton e.MAS, telah melancarkan secara rasminya kenderaan elektrik (EV) pertama mereka, Proton e.MAS7,  hari ini ke dalam pasaran Malaysia. 2 varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium.

Model ini berukuran 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 461 liter dan meningkat hingga 1,877 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

Untuk kedua-dua varian, ia dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) yang mampu menghasilkan 160 kW dan 320 Nm tork. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 6.9 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 175 km/j.

Bagi varian Prime, jarak sejauh 345 km (WLTP) boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 49.52 kWh manakala untuk varian Premium, jarak sejauh 410 km (WLTP) boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 60.22 kWh.

E.MAS7-NAZZNCO

Bagi pengecasannya, varian Prime menerima sistem pengecas pantas DC berkapasiti 80 kW manakala varian Premium menerima 100 kW. Ia boleh mencapai status pengecasan 30% hingga 80% dalam masa 20 minit.

Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

Untuk rekaan luaran, e.MAS7 tampil dengan hidden door handles, bampar hadapan aerodinamik tertutup, Active Grill Shutters (AGS) dan di bahagian belakang menerima Low Drag Spoiler, Aero Wings, Diffuser dan rim. Logo Proton e.MAS terletak pada gril hadapan berserta tulisan ‘Proton’ dan ‘e.MAS7’ di bahagian belakang.

Memasuki ruang dalam, e.MAS7 menerima skrin infotainment bersaiz 15.4 inci, paparan instrumen pemandu dengan skrin bersaiz 10.2 inci dan juga ruang konsol tengah yang direka berorientasikan pemandu. Stereng juga diberikan rekaan yang baru beserta 256 pilihan lampu ambient yang mengikut rentak muzik.

Selain itu, e.MAS7 turut akan menerima sambungan Apple CarPlay dan Android Auto bersama dengan pengecas telefon tanpa wayar. Proton juga telah mengumumkan bahawa skrin utama di tengah papan pemuka tersebut menampilkan paparan resolusi 2.5k yang beroperasi dengan Flyme OS.

E.MAS7-NAZZNCO

Varian Premium pula menerima tambahan perincian seperti bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa dan juga penutup gril hadapan aktif.

Bagi sistem keselamatan pula, ia dilengkapi dengan 6 beg udara dan Level 2 Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang terdiri daripada brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sokongan brek dinamik, amaran dan pengelak keluar lorong dan juga bantuan pengekal lorong kecemasan.

5 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Gray, Quartz Rose dan Lithium White dengan Indigo Blue sebagai warna dalaman. Pemilik Proton e.MAS7 akan menerima pengecas rumah 7kW bernilai RM1,500, Adaptor V2L bernilai RM500, kadar faedah rendah bermula 1.98%, 5 tahun tanpa had data internet bernilai RM1,800 dan rebat eksklusif untuk pemilik Proton yang ingin trade-in kenderaan mereka.

Selain itu, waranti  6 tahun tanpa had mileage untuk kenderaan dan 8 tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen akan diberikan kepada semua pemilik Proton e.MAS7.

Istimewa sempena pelancaran rasminya, pelanggan yang membuat tempahan Proton e.MAS7 akan mendapat rebat sebanyak RM4,000, menjadikan harga model ini bermula RM105,800 (Prime) sehingga RM119,900 (Premium) sahaja.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD