Berbanding pemberian tol percuma pada musim perayaan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memberi insentif kepada pengendali pengangkutan awam.
Menurut Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail, langkah tersebut mampu mengurangkan kesesakan kenderaan di lebuhraya serta dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan.
Selain itu, langkah tersebut juga dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam dengan memberi insentif kepada bas ekspres, kereta api dan juga kapal terbang, lapor Sinar Harian.
“Insentif seperti subsidi tambang dan tambahan jadual perjalanan akan menyebabkan lebih ramai pengguna mungkin memilih untuk tidak menggunakan kenderaan persendirian.
“Pemberian insentif bukan sahaja meningkatkan keupayaan pengangkutan awam, malah membantu rakyat bergerak lebih lancar dan efektif selain menyokong kelestarian sistem pengangkutan negara,” katanya.
Mengulas lanjut, pemberian tol percuma sempena musim perayaan dikatakan tidak produktif kerana ia hanya menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dalam jangka masa panjang.
“Tol percuma semasa perayaan cenderung menggalakkan peningkatan jumlah pengguna kenderaan persendirian di lebuh raya.
“Penggunaan lebuh raya meningkat berkali ganda, terutama pada waktu puncak sehingga menyebabkan kesesakan teruk. Kesannya, tempoh perjalanan menjadi lebih panjang, dan menjejaskan produktiviti rakyat,” katanya.
Tidak cuma itu, kerajaan juga perlu membayar pampasan yang tinggi kepada syarikat konsesi tol.
“Kos pampasan sempena Krismas tahun ini dianggarkan mencecah RM38 juta. Jumlah ini terlalu besar untuk manfaat bersifat sementara yang hanya dinikmati pengguna lebuh raya, sedangkan dana tersebut boleh digunakan untuk inisiatif lain seperti meningkatkan kapasiti dan kualiti pengangkutan awam atau menyediakan subsidi kepada pengguna,” jelasnya.
Ia disifatkan inklusif bagi sesetengah golongan yang tidak menggunakan jalan tol, penduduk luar bandar dan pengguna pengangkutan awam dan hanya akan menguntungkan pengguna lebuh raya.
“Pemberian tol percuma juga dilihat gagal menyumbang kepada peningkatan produktiviti. Kesesakan lalu lintas mengakibatkan rakyat kehilangan banyak masa dan tenaga, terutama mereka yang terperangkap di jalan raya selama berjam-jam.
“Risiko kemalangan juga tinggi dengan pertambahan bilangan kenderaan mendadak di lebuh raya, ia boleh dielak jika lebih ramai mengambil pengangkutan awam.
“Jumlah kemalangan turut berisiko meningkat kerana mungkin ramai pemandu tidak berpengalaman di lebuh raya mengambil kesempatan tawaran tol percuma untuk menggunakan lebuh raya,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan bahawa dana RM38 juta itu digunakan untuk melabur dalam pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra pengguna.
“Pelaburan sebegini dapat memberikan manfaat lebih berkesan dan berpanjangan berbanding tol percuma, di samping mengurangkan pelepasan karbon serta penggunaan bahan api.
“Secara keseluruhannya, pemberian tol percuma semasa musim perayaan dilihat sebagai langkah sementara yang membawa lebih banyak masalah berbanding penyelesaian,” katanya.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?