Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melancarkan Operasi Khas Gempur Teknikal bermula Rabu lepas di seluruh negara di mana kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya akan disita dan dirampas hak terhadap kenderaan.
Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli, susulan dengan kekerapan kemalangan dan kematian yang melibatkan kenderaan perdagangan baru-baru ini, operasi khas itu telah dilancarkan.
Atas kesalahan disyaki melanggar lesen pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya lain, pemilik syarikat atau kenderaan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 57 Akta 715.
Sekiranya disabit kesalahan, denda tidak kurang RM1,000 sehingga RM500,000 akan diberikan di bawah seksyen yang sama.
“Tindakan atas kesalahan tersebut, kenderaan yang terlibat boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan boleh dilucut hak sekiranya sabit kesalahan.
“Menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara, pihak JPJ akan menumpukan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan melibatkan beberapa kesalahan utama,” katanya.
Menurut laporan Sinar Harian, kesalahan seperti lebih muatan, kesalahan teknikal serta dokumentasi, lalu lintas serta kesalahan teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan akan diberi tumpuan.
Jelasnya, tindakan tegas akan dilaksanakan dan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan.
“Ia melibatkan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” ujarnya.
Tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi akan terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara, tambahnya.