Pro-Net, anak syarikat kepada pengeluar automotif nasional Proton, telah mengumumkan bahawa lebih 2,500 tempahan telah diterima untuk model elektrik sulung mereka, Proton e.MAS7.
Untuk makluman, model ini baru sahaja dilancarkan pada 16 Disember yang lalu pada harga bermula RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium.
Sedikit recap tentang spesifikasi bateri dan enjin, kedua-dua varian dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) yang mampu menghasilkan 160 kW dan 320 Nm tork. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 6.9 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 175 km/j.
Bagi varian Prime, jarak sejauh 345 km (WLTP) boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 49.52 kWh manakala untuk varian Premium, jarak sejauh 410 km (WLTP) boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 60.22 kWh.
Istimewa sempena pelancaran rasminya, pelanggan yang membuat tempahan Proton e.MAS7 akan mendapat rebat sebanyak RM4,000, menjadikan harga model ini bermula RM105,800 (Prime) sehingga RM119,900 (Premium) sahaja.
3,000 pelanggan pertama akan menerima pengecas rumah 7kW bernilai RM1,500, Adaptor V2L bernilai RM500, kadar faedah rendah bermula 1.98%, 5 tahun tanpa had data internet bernilai RM1,800 dan rebat eksklusif untuk pemilik Proton yang ingin trade-in kenderaan mereka.
Selain itu, waranti 6 tahun tanpa had mileage untuk kenderaan dan 8 tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen akan diberikan kepada semua pemilik Proton e.MAS7.