Proton telah berjaya menjual sebanyak 14,601 unit kenderaan pada Disember 2024 dan sekaligus telah berjaya menutup tirai tahun 2024 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 152,352 unit (domestik dan eksport) kenderaan yang berjaya didaftarkan. Peningkatan sebanyak 19.7% berbanding dengan jumlah jualan pada November iaitu sebanyak 12,194 unit.
Dengan angka ini, pegangan pasaran mereka kini dianggarkan berada pada 18.7%. Ini adalah tahun keenam berturut-turut Proton mencapai kedudukan kedua dalam carta, memberikannya asas kukuh untuk menghadapi persaingan pada tahun 2025.
Proton Saga masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di dalam Proton dengan jumlah jualannya pada Disember mencapai 6,675 unit. Ini menjadikan jumlah terkumpul bagi Saga pada tahun 2024 sudah mencecah sebanyak 72,769 unit.
Proton X50 2024 juga menunjukkan jumlah jualan yang kukuh sejak pelancarannya dengan jumlah jualannya sebanyak 2,614 unit pada Disember. Ini menjadikan X50 sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia dan sudah mencecah sebanyak 23,647 unit.
Ia seterusnya disambung oleh Proton S70 dengan prestasi yang hebat dan mengagumkan di mana sebanyak 1,670 unit berjaya dijual pada Disember. Ini menjadikan jumlah kumulatif tahunannya mencapai 19,182 unit.
Tidak dilupakan, Proton Persona dengan jumlah jualannya sebanyak 1,528 unit, sekaligus mencatat jumlah terkumpul untuk tahun ini sebanyak 18,853 unit. Ia disambung dengan Proton X70 sebanyak 1,456 unit, Proton Iriz sebanyak 351 unit dan Proton X90 sebanyak 307 unit pada Disember 2024.
Selain daripada jualan kenderaan jenama Proton, Proton juga merupakan pengimport dan pengedar untuk model smart Automobile melalui anak syarikatnya PRO-NET dan untuk tahun 2024, sebanyak 622 unit smart #1 dan #3 telah dijual, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual sebanyak 152,974 unit.
“Dengan TIV yang melepasi 800,000 unit untuk pertama kali, kami berbangga dapat mengekalkan kedudukan sebagai jenama automotif kedua paling popular di Malaysia, meraih 18.7% bahagian pasaran sambil menunaikan janji untuk melancarkan model EV pertama kami pada 2024.
“Semua ini adalah pencapaian positif untuk dibawa ke tahun baru dan kami berharap dapat mengembangkan syarikat selaras dengan nilai teras jenama kami iaitu inovasi, kebolehpercayaan, dan antarabangsa,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Selain itu, sebanyak 1,113 unit Proton Saga pemanduan kiri (LHD) dieksport ke Mesir bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan eksport untuk tahun tersebut sebanyak 4,765 unit. Mesir juga muncul sebagai destinasi eksport utama dengan 1,748 unit pada tahun 2024.
Brunei muncul sebagai destinasi kedua paling popular, dengan prestasi jualan Proton di Sultanate, mencatatkan pencapaian yang mengagumkan iaitu sebanyak 1,200 unit berjaya dieksport. Bagi pecahan model, Saga mendahului dengan 2,906 unit, menyumbang sebanyak 61% kepada jumlah eksport keseluruhan, diikuti rapat oleh Proton X50 dan Proton S70.