Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan sebanyak 816,747 unit kenderaan berjaya dijual sepanjang tahun 2024, rekod tertinggi pernah dicapai, berbanding 799,821 unit pada tahun 2023.
Segmen kereta penumpang mendominasi dengan 747,180 unit, meningkat sebanyak 3.9% berbanding pada tahun 2023 (719,145 unit). Walau bagaimanapun, kenderaan komersial menunjukkan penurunan yang ketara di mana hanya 69,567 unit berbanding 80,676 unit pada tahun 2023.
“Peningkatan TIV yang membanggakan ini mampu dicapai antaranya disebabkan keadaan sosio-politik yang stabil serta beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menggalakkan lagi ekonomi mencapai kadar pertumbuhan GDP yang lebih tinggi. Semua yang dinyatakan itu merupakan faktor penting untuk industri automotif, kerana ia akan meningkatkan keyakinan awam untuk berbelanja dan membeli kenderaan,” jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain.
Selain itu, pengenalan jenama dan model baru dari China, jualan tempahan tertangguh bagi Segmen A (kereta Perodua) serta promosi akhir tahun yang lumayan turut menyumbang kepada angka jualan kenderaan di Malaysia pada tahun 2024.
Jualan kenderaan baharu pada Disember 2024 juga merekodkan pencapaian yang cemerlang apabila sebanyak 81,735 unit kenderaan berjaya dijual, mencipta sejarah sendiri dan telah mengatasi jualan pada Mac 2023 (78,895 unit).
Bagi tahun 2025, ramalan TIV dijangka menurun kepada 4.5% iaitu 780,000 unit. Beberapa faktor dijangka akan memberi kesan seperti peningkatan gaji minimum, kenaikan gaji penjawat awam, ramalan pertumbuhan GDP, pelaksanaan subsidi bersasar dan lain-lain lagi.