Sebelum ini, Perodua telah memperkenalkan 2 model prototaip kenderaan elektrik (EV) mereka semasa Malaysia Autoshow 2024 dan Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 iaitu Perodua eMO-I dan Perodua eMO-II.
Terbaharu, menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, model EV mereka akan diletakkan julat harga sekitar RM80,000. Walau bagaimanapun, konsep baru akan diperkenalkan di mana model tersebut akan dijual tanpa bateri dan pemilik perlu menyewa bateri secara berasingan.
“Bateri akan disewa secara pajakan atau leasing kepada pembeli. Melalui cara berkenaan, pembeli akan membeli EV dan membayar sewa untuk bateri kepada Perodua,” katanya menurut laporan dari Harian Metro.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Perodua, ramai orang yang menyokong konsep ini dan jumlah sewa yang diberikan adalah yang paling minimum.
Untuk menurunkan harga kereta kepada harga mampu milik untuk semua, konsep pajakan bateri EV ini akan diperkenalkan kepada para pelanggan di samping, untuk memastikan bateri sentiasa berada dalam keadaan yang baik kepada pemilik.
“Untuk projek EV ini, Perodua menggunakan teknologi yang dibangunkan sendiri dengan bantuan dari vendor-vendor tempatan dan luar negara,” katanya.
Selain itu, sekiranya terdapat sebarang masalah atau perubahan teknologi pada bateri, pemilik EV tidak perlu bertanggungjawab dan boleh menukar ganti bateri baru daripada pengeluar kenderaan.