Lima individu maut dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6, Jalan Bahau-Rompin pada malam Rabu. Kemalangan yang berlaku sekitar jam 9.05 malam itu melibatkan sebuah Perodua Axia, Toyota Mark X dan sebuah pacuan empat roda Ford Ranger.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, memaklumkan bahawa kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Mark X yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung secara berhadapan dengan Perodua Axia yang sedang dalam perjalanan dari Rompin ke Bahau.
“Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 31 tahun bersama tiga penumpang berpusing akibat perlanggaran tersebut. Dalam situasi itu, sebuah Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang gagal mengelak dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan Perodua Axia berkenaan,” katanya.
Kemalangan ini mengakibatkan pemandu Perodua Axia serta dua penumpang berusia 18 dan 19 tahun, selain pemandu Toyota Mark X mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi penumpang Perodua Axia, berusia 16 tahun, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.

Bagaimanapun, pemandu Ford Ranger tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. Sumber Sinar Harian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jempol, Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu siasatan.
Pihak berkuasa menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?