MG Motor Malaysia telah mengumumkan 2 varian untuk model MG S5 iaitu Com dan Lux di Malaysia Autoshow 2025. Selepas mengumumkan harga anggaran bermula dari RM115,000 ketika pra-tonton eksklusif pada April, mereka turut memperkenalkan pakej istimewa untuk pembeli yang membuat tempahan di Malaysia Autoshow 2025.
Dengan bayaran tempahan sebanyak RM500, pelanggan layak menerima pakej eksklusif early bird merangkumi penjimatan bernilai 10 kali ganda dari bayaran tempahan dan pengecas rumah Wallbox AC 7kW percuma.
Varian Com hadir dengan dua pilihan bateri iaitu 49kWh yang boleh mencapai jarak sehingga 340 km dan 62kWh yang boleh mencapai jarak sehingga 430 km (WLTP). Varian Lux pula hanya hadir dengan bateri 62kWh dan juga memberikan jarak 430km.
Kedua-dua varian mempunyai pacuan roda belakang dengan 170 PS dan 250 Nm tork, serta menyokong pengecasan AC 7 kW. Varian LUX turut menyokong pengecasan pantas DC 150 kW yang boleh mengecas dari 10% ke 80% dalam hanya 26 minit.
Ia juga dilengkapi ciri-ciri mewah seperti rim aloi 18 inci, bumbung suria panorama, tempat duduk pemandu boleh laras elektrik, stereng kulit berhaba, pengecas tanpa wayar, enam pembesar suara premium, pintu but elektrik, dan kamera pandangan 360 darjah.
Kedua-dua varian hadir dengan lampu hadapan LED bertema “Racing Flag” dan lampu belakang ikonik MG berbentuk Arch. Ciri-ciri lain termasuk fungsi Vehicle-to-Load (V2L), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin infotainmen 12.8 inci dengan arahan suara, paparan digital 10.25 inci, dan sistem sambungan pintar iSMART daripada MG.
Ruang but juga luas, sehingga 1,441 liter termasuk ruang bawah lantai.
Model ini bakal ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte. Bahagian dalamnya menampilkan tempat duduk gabungan kulit dan fabrik berwarna gelap.
Pelanggan yang menempah MG Cyberster akan menerima pakej pengecasan tanpa had selama 1 tahun dengan JomCharge, pengecas Wallbox AC 7kW percuma, dan model mainan MG Cyberster edisi terhad. Rebat RM5,000 juga ditawarkan untuk MG5 dan MG HS, dan pelan bayaran fleksibel untuk MG4 dengan ansuran bulanan serendah RM974.