Chery Malaysia Lancar Teknologi Chery Super Hibrid (CSH) – Perkenal Tiggo 8 & Tiggo 7 PHEV

Chery Malaysia secara rasmi telah melancarkan teknologi baharunya, Chery Super Hybrid (CSH), yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha jenama ini untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang pintar, cekap, dan mesra alam kepada pengguna di Malaysia.

Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew berkata bahawa pelancaran CSH merupakan satu pencapaian besar yang menyatukan kelebihan pemanduan elektrik, ketahanan jarak jauh seperti hibrid, dan prestasi unggul Chery dalam satu sistem.

Teknologi CSH ini menggabungkan keupayaan kenderaan hibrid berprestasi tinggi dan kenderaan elektrik. Ia direka untuk menjimatkan tenaga dan memberikan pemanduan yang lancar, sekaligus menetapkan penanda aras baharu dalam industri automotif global. Chery telah mula membangunkan teknologi hibrid sejak tahun 2001, dan kini generasi kelima CSH sedia untuk pasaran antarabangsa, termasuk Malaysia.

Enjin terasnya ialah 1.5L turbo hibrid dengan kecekapan terma 44.5%, antara yang tertinggi dalam industri. Digabungkan dengan motor elektrik, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 255 kW dan 525 Nm tork, memberikan pemanduan yang bertenaga dan efisien.

Antara ciri utama ialah transmisi hibrid cekap tanpa henti, bateri lithium iron phosphate tahan lasak yang boleh dicas dari 30% ke 80% dalam hanya 20 minit, serta sistem perlindungan keselamatan bateri.

Chery turut mempamerkan model TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV sebagai tambahan baharu kepada barisan kenderaan hibrid mereka di Malaysia, selepas pelancaran TIGGO Cross Hybrid awal bulan ini.

Model seperti TIGGO 7 PHEV dan TIGGO 8 PHEV boleh mencapai jarak sehingga 1,200 km dengan satu pengecasan dan isian penuh. Sistem ini juga menukar mod pemanduan antara elektrik dan hibrid secara automatik untuk menjimatkan minyak dan mengurangkan pencemaran.

Untuk menjamin keselamatan, Chery menguji bateri CSH secara ekstrem di seluruh dunia. Di China, bateri ini diuji dalam kemalangan, jatuhan, dan pendedahan kepada hakisan.

Di Indonesia, bateri direndam dalam air laut sedalam satu meter selama lebih 53 jam untuk meniru situasi banjir tropika dan terbukti tahan lasak. Ujian seterusnya akan dijalankan di kawasan tinggi di Mexico bagi menguji prestasi dan ketahanan bateri di jalan berbukit dan tidak rata.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD