GAC Malaysia secara rasmi telah mengumumkan harga pra-jualan bagi dua model yang dinanti-nantikan iaitu GAC EMKOO, versi pemasangan tempatan dan GAC M8 PHEV.
Merupakan model pemasangan tempatan (CKD) kedua GAC selepas GS3 EMZOOM, masih 2 varian akan ditawarkan untuk SUV ini dengan harga anggaran bermula dari RM120,000 (Premium) dan RM130,000 (Premium Pro).

Sedikit recap, ia menerima spesifikasi enjin 1.5 TGDI bersama transmisi dwi-klac 7-kelajuan, dengan penggunaan bahan api dikatakan pada 6.6L/100km. Reka bentuk luarnya yang berani dipadankan dengan ruang dalaman moden, termasuk panel meter digital 10.25 inci dan skrin infotainmen 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi keselamatan dan kemudahan pemandu, EMKOO dilengkapi sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS), termasuk fungsi Parkir Automatik Penuh (FAPA). Ruang kargonya juga luas dan boleh mencecah sehingga 1,586 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Pembeli EMKOO akan menerima jaminan kenderaan selama 5 tahun/150,000 km dan jaminan enjin serta sistem kuasa selama 7 tahun/180,000 km.

Turut boleh ditempah ialah GAC M8 PHEV, MPV hibrid plug-in premium pertama di Malaysia. Ia tersedia dalam dua varian dengan harga anggaran bermula dari RM333,000 (Premium) dan RM380,000 (Luxury). Ia menggunakan enjin turbo 2.0 liter bersama transmisi hibrid dua-kelajuan dan mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 1,038 km.

M8 juga dilengkapi ciri mewah seperti tempat duduk kapten boleh baring dengan fungsi SPA Satu Sentuhan, sistem audio Yamaha premium, dan sistem infotainmen yang canggih.

Dari segi keselamatan, ia menawarkan bantuan pemanduan pintar Tahap 2, kamera pandangan sekeliling, serta sistem beg udara 360 darjah, termasuk beg udara cermin belakang pertama di dunia yang memberikan perlindungan tambahan kepada penumpang baris ketiga. Pembeli GAC M8 PHEV akan menikmati jaminan kenderaan 5 tahun/150,000 km, dan jaminan bateri 8 tahun/150,000 km.
Semua model ini telah pun dibuka tempahan dan pelanggan yang berminat untuk melihat dan pandu uji, boleh ke laman web rasmi GAC Malaysia atau pergi ke mana-mana bilik pameran GAC terdekat anda.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?