Perkhidmatan ETS ke Johor Bahru Masih Belum Tersedia, Kerja-Kerja Pemasangan Elektrifikasi Belum Siap

Perkhidmatan ETS ke Johor Bahru Masih Belum Tersedia, Kerja-Kerja Pemasangan Elektrifikasi Belum Siap

Orang ramai yang berharap untuk menaiki perkhidmatan ETS KTMB sehingga ke Johor Bahru mungkin perlu menunggu sehingga hujung tahun ini, atau mungkin juga tahun depan.

Menurut laporan The Star, di laluan sejauh 180 km dari Segamat ke JB Sentral baru-baru ini menunjukkan bahawa laluan ini masih belum bersedia. Kerja-kerja pemasangan sistem elektrik dan isyarat masih belum siap, terutamanya di sepanjang 100 km antara Kluang dan JB Sentral.

Di kawasan berhampiran Johor Bahru, sistem wayar atas (OHLE) yang membekalkan elektrik kepada tren masih belum lengkap. Komponen penting seperti wayar sentuhan dan struktur penyokong masih belum dipasang sepenuhnya.

Sebelum ini, ada pihak yang menjangkakan laluan 192 km dari Gemas ke Johor Bahru akan siap pada Ogos, termasuk Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Namun, tiada kemas kini sejak ETS mula beroperasi dari Gemas ke Segamat pada 15 Mac lalu.

Ketika KTMB membuka jualan tiket awal pada 30 Jun bagi perjalanan sehingga 31 Disember, tiada tiket ditawarkan untuk perjalanan melebihi Segamat. Malah, KTMB kini menggantung jualan tiket selepas Disember dan memohon maaf kerana tidak akan membuka jualan untuk Januari 2026 dalam masa terdekat, sedangkan biasanya tiket dijual enam bulan lebih awal.

Menurut pakar sistem tren, Yuslizar Daud, proses pemasangan dan ujian sistem elektrik mengambil masa yang panjang. Ia melibatkan pemasangan wayar, pelarasan, pengujian kuasa elektrik, serta pemeriksaan akhir oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) sebelum kelulusan diberikan. Berdasarkan keadaan semasa, beliau tidak yakin laluan ini akan siap menjelang September.

Bagaimanapun, difahamkan KTMB sedang berusaha mempercepatkan pembukaan laluan sepanjang 90 km dari Segamat ke Kluang supaya ETS dapat dilanjutkan sehingga Kluang dalam suku tahun ini. Namun begitu, KTMB masih belum menghantar permohonan rasmi kepada Apad untuk kelulusan.

Dalam masa yang sama, KTMB sedang menjalankan ujian ke atas set tren ETS baharu yang baru tiba dari China. Set tren pertama, dikenali sebagai “golden train“, perlu menjalani ujian sejauh 8,000km tanpa sebarang masalah sebagai sebahagian daripada prosedur fault-free run (FFR), satu keperluan keselamatan sebelum digunakan secara rasmi. Set tren lain mungkin dibenarkan beroperasi dengan ujian yang lebih pendek jika golden train melepasi ujian dengan cemerlang.

Sekiranya Apad meluluskan, KTMB dijangka akan menggunakan tren ETS lama untuk mengendalikan perkhidmatan ke Kluang. Namun begitu, soalan yang dihantar kepada KTMB dan Kementerian Pengangkutan tidak mendapat jawapan, apabila kedua-dua pihak saling merujuk semula kepada pihak yang lain.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD