NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai Pakej 2B Kembali Lancar, Kurangkan Masa Perjalanan Sehingga 2.5 Jam

Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai Pakej 2B Kembali Lancar, Kurangkan Masa Perjalanan Sehingga 2.5 Jam

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan kerja-kerja pembinaan Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) bagi Pakej 2B, dari Ketereh ke Kok Lanas, kini kembali berjalan lancar selepas mengalami penangguhan sebelum ini.

Pakej ini melibatkan pembinaan jalan berkembar empat lorong sepanjang 6.2 kilometer mengikut piawaian JKR R5, dengan kos semasa RM73.7 juta. Projek yang kini dikendalikan oleh kontraktor penyelamat, Daie Engineering Sdn. Bhd., bermula semula pada Februari 2025 dan telah mencapai 6.10% kemajuan, mendahului jadual sebanyak 1%. Sasaran siap adalah pada Ogos 2026.

Beliau menjelaskan, Pakej 2B merupakan sebahagian daripada keseluruhan Lebuhraya KBKK sepanjang 70.4 kilometer yang akan membantu mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan 8, terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Laluan ini juga dijangka memendekkan masa perjalanan dari tujuh jam kepada 4.5 jam, mengurangkan jarak sejauh 24 kilometer, meningkatkan keselamatan jalan raya, serta membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.

Alexander turut mengakui projek ini berdepan pelbagai cabaran seperti isu pengambilan tanah, penyelarasan utiliti, kekurangan tenaga kerja, faktor cuaca, dan kenaikan harga bahan binaan. Namun, beliau menegaskan Kementerian Kerja Raya bersama JKR akan memantau rapat agar projek siap mengikut jadual.

“Projek ini bukan sekadar jalan baharu, tetapi nadi penghubung rakyat Kelantan kepada peluang ekonomi, sosial, dan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya, sambil menambah bahawa laluan ini kelak akan menjadi sebahagian daripada Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Setakat Februari lalu, kemajuan keseluruhan projek KBKK telah mencapai 80% dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027. Lebuhraya sepanjang 66.88 kilometer ini, dengan kos RM2.33 bilion, dibahagikan kepada tujuh pakej yang menghubungkan Kota Bharu ke Kuala Krai sebelum bersambung ke LTU.

Laluan melibatkan Pasir Hor-Kadok, Kadok-Ketereh, Ketereh-Kok Lanas, Kok Lanas-Bukit Tiu, Bukit Tiu-Berangan Mek Nab, Berangan Mek Nab-Keroh, dan Keroh-Kuala Krai. – Paultan

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy