NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Isu AirAsia Alih Penerbangan ke Gimpo: Bukan Salah Mendarat, Cuma Cuaca Buruk dan Perlu Isi Minyak

Isu AirAsia Alih Penerbangan ke Gimpo: Bukan Salah Mendarat, Cuma Cuaca Buruk dan Perlu Isi Minyak

AirAsia X (AAX) menafikan laporan bahawa penerbangan D7506 dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada 13 Ogos lalu telah mendarat di lapangan terbang yang salah.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menjelaskan, pesawat sebenarnya dialihkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo untuk mengisi minyak berikutan kesesakan trafik udara di Incheon akibat cuaca buruk. Menurut AAX, pesawat mendarat di Gimpo lebih awal pada sebelah malam sebelum meneruskan perjalanan ke Incheon.

“Berlaku sedikit salah faham ketika pengumuman oleh kru kabin selepas pendaratan, namun kapten pesawat segera menjelaskan bahawa pengalihan tersebut adalah kerana cuaca buruk dan keperluan mengisi minyak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kapten turut memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan yang berlaku dan memberi jaminan bahawa pendaratan di Gimpo hanyalah untuk mengisi minyak sebelum berlepas semula ke destinasi asal.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail, berkata situasi itu tidak dapat dielakkan kerana cuaca buruk di Incheon.

“Bagi mengelakkan kelewatan lebih lama dan risiko mendarat dengan baki minyak yang tidak mencukupi, pesawat dialihkan ke Gimpo demi keselamatan,” jelasnya.

Selepas semua prosedur keselamatan selesai, pesawat berlepas semula ke Incheon dan penumpang akhirnya bersurai di lapangan terbang tersebut.

Benyamin menambah, AAX akan menilai semula prosedur pengumuman dalaman dan penyampaian maklumat kepada penumpang supaya lebih jelas pada masa hadapan. Syarikat itu juga akan menghubungi penumpang yang terlibat dan menawarkan baucar perjalanan sebagai tanda keprihatinan.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan laporan yang mendakwa penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Incheon mendarat di lapangan terbang yang salah di Korea Selatan. – The Star

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy