NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

JPJ Tahan 4 Kenderaan e-Hailing Singapura Bawa Penumpang Tanpa Permit

JPJ Tahan 4 Kenderaan e-Hailing Singapura Bawa Penumpang Tanpa Permit

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan dan menyita empat kenderaan e-hailing berdaftar di Singapura yang dipandu oleh warga republik itu kerana beroperasi tanpa permit sah di Malaysia. Tindakan itu dilakukan menerusi Op Khas E-Hailing Kenderaan Asing yang dijalankan di sekitar bandar raya ini sejak 9 Ogos lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kenderaan terbabit merupakan Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Toyota Hiace dan Honda Spada dan masing-masing dipandu lelaki rakyat Singapura. Mereka dikesan membawa penumpang dari Singapura serta negara lain masuk ke Malaysia melalui laluan darat untuk tujuan pelancongan.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan ini tidak memiliki lesen pengendali yang sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tiada cukai jalan Malaysia,” katanya pada sidang media di JPJ Taman Daya malam tadi.

Kesemua kenderaan itu ditahan di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan disiasat mengikut Seksyen 16(1) akta sama kerana beroperasi sebagai kenderaan perkhidmatan awam tanpa lesen pengendali.

Aedy Fadly menegaskan tiada kompromi terhadap kenderaan e-hailing haram di Malaysia dan tindakan akan dibawa ke mahkamah bagi proses lucut hak kenderaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial, WhatsApp, Telegram dan pelekat pada kenderaan, dengan mengenakan caj perjalanan jauh melebihi kadar dibenarkan. Contohnya, perjalanan Singapura–Johor Bahru boleh mencecah SGD180 (RM591) seorang, manakala perjalanan ke Ipoh direkodkan sehingga SGD1,200 (RM3,946).

“Operasi ini akan diteruskan bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan, di samping menjaga keselamatan penumpang dan integriti sistem pengangkutan negara. Kita juga akan perluaskan operasi ini ke negeri lain,” jelasnya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini untuk melaporkannya melalui aplikasi MyJPJ e-Aduan atau e-mel kepada aduantrafik@jpj.gov.my. – Bernama

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy