NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pemilik Kereta Mewah Kantoi Elak Bayar Cukai Jalan & Insurans Hingga 3 Tahun

Pemilik Kereta Mewah Kantoi Elak Bayar Cukai Jalan & Insurans Hingga 3 Tahun

Beberapa pemilik kereta mewah termasuk selebriti, pempengaruh dan ahli perniagaan dikesan memandu tanpa cukai jalan dan insurans sah sehingga tiga tahun, dengan tunggakan bayaran mencecah RM29,000.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 270 kenderaan termasuk Ferrari, Lamborghini dan Rolls-Royce telah disita di seluruh negara dalam operasi Ops Luxury yang dijalankan sejak dua minggu lalu.

“Di Johor sahaja, kita tahan 11 kenderaan, termasuk sebuah kereta dengan cukai jalan tahunan berjumlah RM12,000. Di Kuala Lumpur pula, rekod tunggakan tertinggi mencecah RM29,000, tidak termasuk insurans,” katanya.

Beliau menjelaskan operasi ini menyasarkan kenderaan mewah yang berada di jalan raya tanpa dokumen sah. Semua pemilik diwajibkan melunaskan cukai jalan, insurans dan saman tertunggak sebelum kenderaan mereka dilepaskan.

“Ada yang beri alasan terlupa untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans, tetapi kes paling lama yang kita jumpa ialah sebuah kereta di Kuala Lumpur yang sudah lebih tiga tahun tidak diperbaharui,” katanya sambil mempersoalkan bagaimana seseorang boleh ‘terlupa’ dalam tempoh selama itu.

Daripada jumlah itu, 9 kenderaan mewah yang disita di Kuala Lumpur didapati milik warga asing.

Aedy Fadly menegaskan operasi ini akan diteruskan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Tidak masuk akal apabila ada yang sanggup berbelanja jutaan ringgit membeli kereta mewah tetapi enggan membayar cukai jalan dan insurans. Ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan,” katanya. – The Star

Melissa Alias

Melissa Alias merupakan antara pelopor terawal meja editorial NAZZ&CO™ Media. Dengan kepakaran meluas dalam kewartawanan automotif, beliau telah mengendalikan ratusan liputan eksklusif pelancaran model baharu, analisis insiden jalan raya, dan laporan siaran media rasmi yang membentuk asas kukuh kewartawanan digital portal ini.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy