Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan memandu sendiri Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Rawang, Selangor.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi baginda, Seri Paduka tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur sekitar jam 9.15 pagi sebelum memasuki kokpit ETS2 untuk sesi taklimat pemanduan.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali, dengan turut hadir Ketua Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah serta Inspektor Lokomotif, Kamal Asmawi.
Turut mengiringi baginda sepanjang perjalanan Kuala Lumpur – Rawang – Kuala Lumpur ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Teknikal (menanggung tugas CEO KTMB), Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin.
Keseluruhan sesi pemanduan itu berlangsung selama kira-kira satu jam.
Sultan Ibrahim sebelum ini telah mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada tahun 2010. Baginda juga pernah mengendalikan tren ketika program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).
Pada ketika itu, baginda memperoleh lesen pemanduan kereta api selepas berjaya melaksanakan prosedur “turn table” untuk memusingkan lokomotif seberat 86 tan di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, dalam masa 10 minit. Kejayaan tersebut menyaksikan baginda diiktiraf sebagai Sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer dalam tempoh tiga hari. – Kosmo!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?