Naza Automotive Group selaku pengedar rasmi kenderaan Suzuki di Malaysia hari ini telah melancarkan model edisi terhad, Suzuki Swift Sport Final Edition, di bilik pameran utama Suzuki Cars Petaling Jaya. Model ini diletakkan tanda harga sebanyak RM137,800 (atas jalan tanpa insurans).
Edisi istimewa ini diraikan sebagai tanda penghargaan terhadap semangat pemanduan Suzuki Swift Sport yang ikonik, di samping menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-68. Dengan jumlah unit yang sangat terhad, model ini mengetengahkan rekaan eksklusif serta perincian berorientasikan prestasi, menjadikannya rebutan peminat dan pengumpul.
Ciri Eksklusif Luaran
Pelekat sisi dan depan berwarna emas, menambah sentuhan sporty yang lebih menonjol.
Emblem khas “Final Edition 68” sebagai simbolik sambutan kemerdekaan ke-68 negara.
Door visor untuk gaya tambahan dan kegunaan praktikal.
Tip ekzos berkemasan karbon, menyerlahkan identiti sporty Swift Sport.
Rekaan Dalaman Premium
Sistem audio Soundstream berkualiti tinggi untuk pengalaman bunyi imersif.
Pemegang pintu dalaman hitam dengan kemasan “forge finishing” yang sporty dan eksklusif.
Penutup papan pemuka hitam berkemasan “forge finishing”, menambah suasana dinamik pada kabin.
Di sebalik sentuhan tambahan ini, selebihnya model ini masih mengekalkan DNA asalnya. Ia masih dikuasakan oleh enjin K14C 1.4L turbocharged empat silinder sebaris petrol, menghasilkan 140 HP dan 230 Nm tork.
Unit enjin Boosterjet ini dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan bersama paddle shifters, yang memacu roda hadapan. Setup ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa sekitar 8 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 205 km/j.
Suzuki Swift Sport Final Edition akan ditawarkan secara eksklusif di rangkaian bilik pameran Suzuki Cars Malaysia di seluruh negara dengan jumlah terhad, memastikan nilainya kekal eksklusif untuk peminat dan kolektor. Pemilik akan menerima jaminan 3 tahun/100,000 km dari kilang.