Bermaz Motor hari ini telah melancarkan SUV terbaharu mereka, Mazda CX-60 ke dalam pasaran Malaysia. Hanya satu varian akan ditawarkan iaitu 2.5G 2WD High pada harga bermula RM200,510.40 (atas jalan tanpa insurans). Model ini merupakan model pertama daripada kumpulan Large Product Mazda yang akan dibawa masuk sepenuhnya (CBU) dari Jepun.
CX-60 hadir sebagai SUV flagship baharu Mazda, menampilkan gabungan kemewahan, prestasi dan teknologi keselamatan terkini. Direka di bawah konsep “Noble Toughness”, model ini menyerlah dengan rekaan Kodo yang kini semakin matang, membawa elemen keanggunan dan kekuatan dalam satu pakej.
Model ini berukuran 4,740 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,680 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,870 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 570 liter dan meningkat sehingga 1,726 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.
Mazda CX-60 dikuasakan enjin 2.5L NA empat silinder bersama transmisi automatik 8-kelajuan, menghasilkan 189 HP dan 261 Nm tork. Platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture bukan sahaja meningkatkan pengalaman pemanduan, tetapi turut bersedia untuk teknologi elektrifikasi masa hadapan.
Bahagian hadapan CX-60 tampil lebih berani dengan gril baharu yang lebih tinggi, diserikan dengan lampu utama menegak serta pencahayaan berbentuk L di depan dan belakang. Garisan badan yang tajam dan siluet yang padat memberi imej dinamik seolah-olah SUV ini sentiasa bersedia untuk bergerak, walaupun ketika statik.
Kabinnya mengekalkan DNA Mazda dengan sentuhan tradisional Jepun, memanfaatkan material semula jadi yang digabungkan bersama teknologi moden. Papan pemuka yang lebar, konsol tengah yang tegas, serta ruang dalaman yang lapang menambah lagi nuansa mewah.
Pemandu akan disambut dengan tiga skrin utama iaitu paparan maklumat 12.3 inci, paparan kepala (HUD) dan skrin infotainmen 12.3 inci dengan pengecaman suara. Sistem Driver Personalization pula membolehkan lebih 250 tetapan termasuk kedudukan tempat duduk, stereng dan cermin disimpan mengikut profil individu.
Ciri moden lain termasuk 360° View Monitor dengan See-Through View, kamera undur dengan panduan parkir, pengecas tanpa wayar, Apple CarPlay/Android Auto dan sistem audio premium BOSE 12-pembesar suara.
CX-60 menerima penarafan keselamatan 5 bintang Euro NCAP (2022) hasil daripada struktur badan kukuh dan sistem keselamatan i-Activsense yang lengkap. Antara ciri termasuk Adaptive LED Headlamps, Blind Spot Monitoring, Front & Rear Smart Brake Support, Mazda Radar Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Lane Keep Assist serta Driver Attention Alert.
SUV premium ini ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Rhodium White, Jet Black, Platinum Quartz dan Zircon Sand.
Setiap pembelian turut disertakan dengan jaminan pengeluar 5 tahun serta penyelenggaraan percuma 5 tahun (termasuk buruh, alat ganti dan pelincir), tertakluk pada 100,000 km/5 tahun.