Selain Mazda CX-60, Bermaz Motor turut melancarkan Mazda CX-80, ke dalam pasaran Malaysia. Model ini juga hanya bakal menerima satu varian iaitu 2.5G PHEV 2WD High pada harga bermula RM331,610.40 (atas jalan tanpa insurans). Turut akan dibawa masuk sepenuhnya (CBU) dari Jepun, model ini merupakan model kedua dalam rangkaian Large Product Group Mazda.
Model ini berukuran 4,995 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,120 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 258 liter dan meningkat sehingga 687 liter sekiranya tempat duduk barisan ketiga dibaringkan sepenuhnya.
SUV ini dipacu oleh sistem 2.5L e-Skyactiv PHEV, gabungan enjin petrol 2.5L Skyactiv-G empat silinder (189 HP, 261 Nm tork) dengan motor elektrik berkuasa tinggi (172 HP, 270 Nm tork) yang disokong bateri lithium-ion 17.8kWh. Gabungan ini menghasilkan 323 HP dan 500 Nm tork, dengan kelajuan maksimum 195 km/j serta jarak pemanduan elektrik penuh sehingga 65 km.
SUV ini mencatat penggunaan bahan api serendah 1.6L/100km (WLTP) dengan pelepasan CO₂ hanya 36g/km. Platform pacuan roda belakang dengan sistem AWD pintar memastikan kestabilan, manakala suspensi double wishbone depan dan multi-link belakang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian tepat.
Bahagian luar CX-80 menampilkan bentuk memanjang dengan jarak roda panjang, overhang pendek dan kabin bertingkat, menyerlahkan imej eksklusif serta ruang dalaman yang luas. Gril besar dengan lampu utama LED adaptif nipis, garisan bahu kukuh dan kemasan krom halus menambah gaya elegan. Lampu berbentuk L di depan dan belakang pula menjadi identiti pencahayaan baharu Mazda, menjadikan SUV ini mudah dikenali.
Masuk ke dalam, CX-80 menampilkan rekaan dalaman minimalis Jepun dengan papan pemuka melintang, kawalan ergonomik dan suasana premium. Konfigurasi 6 tempat duduk hadir dengan kerusi kapten di barisan kedua beserta konsol tengah penuh, manakala barisan ketiga menempatkan dua orang.
Penggunaan material berkualiti tinggi, pencahayaan ambien putih dan butiran halus menyerlahkan suasana mewah. Sistem HMI baharu pula dilengkapi tiga paparan utama iaitu digital meter 12.3 inci, paparan tengah 12.3 inci dan paparan kepala (HUD), digabungkan dengan Driver Personalization System yang boleh menyimpan lebih 250 tetapan individu.
Ciri lain termasuk 360° View Monitor dengan See-Through View, pengecas tanpa wayar, integrasi Apple CarPlay & Android Auto, serta sistem audio premium BOSE 12-pembesar suara untuk pengalaman hiburan yang lebih imersif.
Teknologi Kinematic Posture Control (KPC) turut dipadankan, membantu mengurangkan body roll ketika mengambil selekoh, sambil mengekalkan kawalan optimum.
Dalam ujian Euro NCAP 2024, Mazda CX-80 meraih penarafan 5 bintang, membuktikan tahap keselamatan yang tinggi untuk pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Sistem i-Activsense yang ditawarkan meliputi Adaptive LED Headlamps, Blind Spot Monitoring, Lane-Keep Assist, Smart Brake Support, Mazda Radar Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, serta Driver Attention Alert.
Lima warna menarik akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Melting Copper, Artisan Red, Rhodium White, Platinum Quartz, dan Jet Black.
Setiap pembelian hadir dengan jaminan pengeluar 5 tahun/100,000km, program penyelenggaraan percuma 5 tahun, serta jaminan bateri PHEV selama 8 tahun/160,000km.