Baru-baru ini, saya diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman memandu SUV premium terbaru daripada Mazda iaitu Mazda CX-60 semasa sesi Media Drive. Perjalanan kami bermula dari Mazda Glenmarie, Shah Alam sehingga ke Ipoh, Perak untuk 2 hari 1 malam.
Mazda CX-60 merupakan SUV segmen-D yang membawa imej baharu Mazda dalam segmen kenderaan premium. Hanya satu varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula RM200,510 (atas jalan tanpa insurans).

Untuk sesi pandu uji kali ini, saya memandu varian 2.5 High yang menggunakan enjin 2.5L NA empat silinder bersama transmisi automatik 8-kelajuan dengan kuasa sehingga 189 hp dan 261 Nm tork. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 203 km/j, cukup untuk memenuhi keperluan pemanduan harian dan perjalanan jauh.

Apa yang saya boleh katakan, untuk sebuah SUV, pengalaman memandu CX-60 terasa sangat berbeza. Semasa memandu di highway, dengan mudahnya saya boleh memecut sehingga 160 km/j. Tiada rasa terbuai dan pedal brek juga tidak terlalu kuat mencengkam sehingga boleh membahayakan pemandu di belakang.

Ketika hujan juga, kereta masih dapat dikawal dengan baik dan wiper dihidupkan secara automatik. Stereng pula terasa tepat dan responsif, memberikan keyakinan ketika memotong atau mengambil selekoh. Suspensi dirasakan seimbang, cukup firm untuk stabil di selekoh tetapi masih selesa ketika melalui jalan tidak rata.

Sistem NVH juga jelas diberi perhatian. Kabin terasa senyap walaupun memandu pada kelajuan tinggi, dengan bunyi angin dan tayar yang minimum. Ini menjadikan pengalaman memandu lebih premium, seolah-olah berada dalam SUV kelas lebih tinggi.
Untuk bahagian dalam, konsol tengah dan papan pemuka direka ringkas tetapi moden, dengan skrin infotainment yang jelas serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Walau bagaimanapun, bagi saya user interface adalah sedikit kurang mesra pengguna dan mengganggu saya ketika memandu.

Untuk menyambung telefon saya dengan skrin infotainment untuk navigasi, ia mengambil sedikit masa untuk memusing dan menekan butang fizikal di bahagian ruang konsol hadapan. Untuk menukar stesen radio juga perlu menggunakan cara yang sama. Jadi bagi saya, saya lebih gemar jika dibenarkan untuk terus touch screen, berbanding dari perlu memusing dan menekan butang fizikal.

Bagi tempat duduk belakang, ia menawarkan ruang kaki yang luas, ditambah dengan corong penghawa dingin sendiri serta port pengecas USB-C yang menjadikan perjalanan panjang lebih selesa untuk penumpang. Untuk keselesaan, maksimum 2 orang dewasa dan 1 orang kanak-kanak boleh dimuatkan di bahagian tempat duduk belakang.

Ruang but di bahagian belakang juga luas dengan kapasiti sebanyak 570 liter dan dengan mudahnya boleh memuatkan beg pakaian kami, 4 orang dewasa.

Apa yang paling saya suka adalah ciri keselamatan yang ada pada Mazda CX-60 seperti adaptive cruise control, lane keep assist, blind spot monitoring serta kamera 360°. Untuk seorang perempuan, kadangkala agak cuai ketika memandu. Dengan adanya ciri keselamatan ini, ia dapat membantu saya masuk ke dalam parkir, tidak masuk ke lorong sebelah dan peka dengan pergerakan kereta hadapan.
Secara keseluruhannya, Mazda CX-60 benar-benar memberikan rasa SUV premium dengan identiti Jepun yang tersendiri. Ia sesuai untuk mereka yang mahukan SUV bergaya, selesa untuk keluarga, tetapi masih memberikan kepuasan dari segi prestasi pemanduan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?