27 Kes Kebakaran EV & Hibrid Direkodkan JBPM Sejak 2023

27 Kes Kebakaran EV & Hibrid Direkodkan JBPM Sejak 2023

Sebanyak 27 kes kebakaran melibatkan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari tahun 2023 hingga Julai 2025, bersamaan purata 10 kes setahun di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata walaupun EV membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan lebih mesra alam, ia tetap membawa risiko kebakaran yang serius.

“JBPM menganggap kebakaran EV antara cabaran terbesar kerana tahap risikonya tinggi semasa operasi memadam kebakaran. Penggunaan fire blanket adalah antara kaedah paling berkesan selain air dan buih,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim mengenai rancangan kementerian untuk membekalkan fire blanket di balai bomba utama susulan peningkatan insiden kebakaran EV dan hibrid.

Menurut Aiman Athirah, JBPM telah memperoleh 318 unit fire blanket bernilai RM915,000 tahun ini untuk diedarkan ke balai bomba terpilih seluruh negara. Selain itu, JBPM turut menerima 30 unit fire blanket sumbangan Persatuan Kenderaan Pelepasan Sifar Malaysia (MyZEVA) yang diagihkan secara berperingkat sejak Disember 2024 hingga 13 Mei lalu.

JBPM juga kini sedang mengkaji penggunaan peralatan khas lain termasuk agen penyejuk dan bekas rendaman sebagai alternatif dalam operasi memadam kebakaran EV.

“Buat masa ini, agen penyejuk yang digunakan adalah air, dengan tujuan menurunkan tahap haba bateri sekali gus menghalang api daripada merebak. Namun, penggunaan agen lain seperti serbuk kering, clean agent dan gas lengai tidak sesuai di kawasan terbuka kerana ia memerlukan konsep total flooding untuk berfungsi dengan berkesan,” jelasnya menjawab soalan tambahan Ahmad. – Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD