NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Harga Petrol RON95 Sah Turun kepada RM1.99 Seliter Bermula 30 September – Anwar

Harga Petrol RON95 Sah Turun kepada RM1.99 Seliter Bermula 30 September – Anwar

Berita baik untuk rakyat Malaysia! Harga petrol RON95 sah turun dari RM2.05 ke RM1.99 seliter bermula 30 September ini, menerusi subsidi bersasar di bawah program BUDI95.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan sendiri perkara ni dalam pertemuan bulanan bersama staf Jabatan Perdana Menteri. Katanya, lebih 16 juta rakyat Malaysia layak nikmati harga baharu ini berdasarkan data JPJ dan JPN. Syaratnya mudah iaitu ada lesen memandu sah dan MyKad yang boleh dibaca.

Mulai tarikh itu juga, warga asing dan syarikat besar tak lagi dapat subsidi. Mereka perlu bayar harga sebenar sekitar RM2.60 seliter. Tapi rakyat Malaysia kekal dengan harga subsidi RM1.99 seliter, dengan kuota 300 liter sebulan. Untuk pemandu e-hailing, boleh mohon had lebih tinggi.

Anwar turut mengumumkan bonus awal iaitu polis dan tentera mula nikmati harga RM1.99 pada 27 September, manakala penerima STR (B40) dapat mula merasa sehari kemudian, 28 September. Katanya, langkah ni dilakukan agar rakyat sempat biasakan diri dengan mekanisme subsidi baru.

Tak perlu daftar apa-apa pun, cukup hanya guna MyKad masa isi minyak. Mesin pembaca MyKad akan dipasang di stesen minyak untuk elak kesesakan. Pastikan cip MyKad elok dan lesen memandu aktif. Kalau belum renew lesen, cepat-cepat buat.

Menariknya, subsidi ini tak kira status atau tahap kewangan. Semua rakyat Malaysia layak, termasuk golongan kaya. Kata Anwar, ini tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Beliau juga bandingkan harga petrol negara lain seperti Arab Saudi RM2.61, Indonesia RM3.22, Filipina RM4.22, Thailand RM5.68, dan Singapura RM9.02 seliter.

“Malaysia berani buat keputusan turunkan harga minyak, walaupun ekonomi dunia tengah tak menentu. Hanya Brunei yang lebih murah dari kita,” katanya.

Kementerian Kewangan akan umumkan butiran lanjut berkenaan mekanisme subsidi BUDI95 dalam masa terdekat. – Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD