NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kes Kemalangan Meningkat, Tayar Tiruan & Terpakai Jadi Punca Utama – MIROS

Kes Kemalangan Meningkat, Tayar Tiruan & Terpakai Jadi Punca Utama – MIROS

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memberi amaran mengenai bahaya penggunaan tayar tidak bertauliah susulan beberapa kemalangan besar yang berpunca daripada kegagalan tayar.

Sumber industri mendedahkan dianggarkan sekitar 100,000 tayar tidak bertauliah diseludup masuk ke Malaysia setiap tahun, menjadikan ia isu berlarutan sejak sekian lama.

Pengerusi Miros, Profesor Dr Wong Shaw Voon berkata, tayar adalah komponen keselamatan kenderaan yang sangat penting.

“Walaupun sistem brek berfungsi, tanpa tayar yang betul, kenderaan tidak akan bertindak seperti sepatutnya. Ia boleh menyebabkan pemandu hilang kawalan dan membawa maut,” katanya.

Menurut beliau, tayar bertauliah melalui ujian ketat bagi memastikan tahap keselamatan. Sebaliknya, tayar tidak bertauliah berisiko rosak, terkeluar dari rim dan mengakibatkan kenderaan terbabas, selain boleh mencetuskan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

Beberapa insiden tragis pernah berlaku akibat masalah tayar. Pada Jun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas tayar hadapan kenderaan Toyota Vellfire yang dinaikinya pecah, menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas.

Pada Disember 2024 pula, tujuh maut manakala lebih 30 cedera dalam kemalangan membabitkan banyak kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Ayer Keroh apabila tayar sebuah kenderaan berat tercabut dan mencetuskan nahas.

Wong menegaskan, peningkatan penjualan tayar murah tidak bertauliah serta tayar terpakai import yang dijual terus tanpa proses baik pulih menimbulkan kebimbangan besar.

“Pengguna perlu utamakan keselamatan berbanding penjimatan. Pastikan tayar mempunyai tanda pengesahan seperti kod peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) atau label piawaian Malaysia (MS),” katanya sambil menyeru pihak berkuasa bertindak tegas terhadap produk tidak bertauliah di pasaran.

Beliau turut menasihatkan pemilik kenderaan supaya tidak membeli tayar hanya kerana harganya murah.

Dalam masa sama, sumber industri menganggarkan kerajaan mengalami kerugian sekitar RM70 juta setahun daripada cukai jualan dan perkhidmatan yang tidak dibayar akibat penyeludupan tayar. Difahamkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjalankan siasatan berkaitan isu ini. – New Straits Times

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD