NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Pemandu Singapura Kantoi Isi RON95, KPDN Johor Jalankan Siasatan

Pemandu Singapura Kantoi Isi RON95, KPDN Johor Jalankan Siasatan

Kurang tiga hari selepas pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), tular rakaman seorang pemandu kenderaan dari Singapura mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Plentong.

Video berdurasi 20 saat itu memaparkan lelaki berkenaan sedang mengisi bahan api subsidi ke dalam sebuah SUV bernombor pendaftaran Singapura sekitar jam 3.55 pagi, Rabu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.

“Pasukan penguat kuasa KPDN negeri telah dihantar ke stesen minyak di Taman Sierra Perdana, Mukim Plentong, bagi mendapatkan maklumat terperinci. Jika terdapat kecuaian daripada pihak pengusaha stesen, kertas siasatan akan disediakan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya ketika dihubungi semalam.

Rakaman itu mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat tempatan kerana RON95 hanya dikhususkan kepada warganegara Malaysia. Malah, individu yang merakam kejadian turut menegur pemandu berkenaan supaya menggunakan RON97 seperti yang diwajibkan kepada kenderaan asing.

Perkongsian berkenaan juga mengundang pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan tersebut dan mempersoalkan tahap penguatkuasaan undang-undang terhadap larangan pembelian RON95 oleh warga asing.

Mengikut syarat BUDI95, hanya warganegara Malaysia layak menikmati harga subsidi RM1.99 seliter dengan pengesahan MyKad di terminal khas stesen minyak. – Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD