Pelancong China Serbu Pulau Pinang, Peningkatan Lebih 520% Direkodkan

Pelancong China Serbu Pulau Pinang, Peningkatan Lebih 520% Direkodkan

Pulau Pinang terus menunjukkan perkembangan kukuh dalam sektor pelancongan apabila kedatangan pelancong dari China melonjak 520.2 peratus antara Januari hingga September 2025 berbanding tempoh sama pada 2023.

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, berkata lonjakan itu menjadikan China sebagai pasaran antarabangsa kedua terbesar ke negeri ini selepas Indonesia. Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia, ketibaan pelancong China meningkat daripada 26,056 orang pada 2023 kepada 161,599 orang pada 2025.

“China merekodkan peningkatan tertinggi bagi ketibaan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Selain itu, negara lain turut menunjukkan pertumbuhan kukuh termasuk India (245.1 peratus), Thailand (49.6 peratus), United Kingdom (44.2 peratus) dan Jepun (41.4 peratus),” katanya ketika menjawab soalan Ong Ah Teong (PH–Batu Lanchang) di Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu, Indonesia terus menjadi penyumbang utama ketibaan pelancong dengan 284,364 pelancong direkodkan sepanjang sembilan bulan pertama 2025 — meningkat 12.3 peratus berbanding 253,307 orang dalam tempoh sama dua tahun lalu.

Dalam usaha memperluaskan pasaran, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada Asia Barat melalui kerjasama Penang Global Tourism (PGT) bersama syarikat penerbangan dan agensi pelancongan dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Oman, selain turut menyertai Arabian Travel Market di Dubai.

Menurut Hon Wai, PGT juga mengukuhkan promosi digital bagi menarik pelancong dari rantau tersebut dengan menampilkan penawaran seperti hotel mesra Muslim, makanan halal, kemudahan mesra keluarga dan fasiliti pelancongan kesihatan bertaraf antarabangsa.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD