Tindakan berbahaya 33 penunggang motosikal yang nekad menggunakan lorong kereta dan menunggang melawan arus di Kilometer 3.8 Jambatan Kedua Pulau Pinang membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam operasi awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata kesemua lelaki berusia 16 hingga 27 tahun — termasuk seorang warga asing — ditahan selepas cuba melarikan diri dengan berpatah balik ke arah Batu Maung apabila diarahkan berhenti.
“Mereka sepatutnya menggunakan lorong motosikal. Sebaliknya, mereka memilih untuk mengambil risiko dengan memasuki lorong kereta dan menunggang secara melawan arus, tindakan yang jelas mengundang bahaya dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya dalam kenyataan malam tadi.
Hasil operasi, polis menyita 51 motosikal pelbagai jenama mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Daripada 110 motosikal yang diperiksa, sebanyak 74 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Serentak dengan itu, JSPT Bukit Aman, JSPT Pulau Pinang dan pihak PLUS turut menjalankan operasi bersepadu motosikal zon utara di daerah Seberang Perai Tengah bagi membanteras kegiatan sama.
Jay January menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana penunggang yang bertindak sebagai samseng jalanan.
“Kami akan terus memperhebatkan operasi di lokasi panas yang dikenal pasti. Tindakan tegas menanti sesiapa yang memilih untuk mengabaikan undang-undang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak terjebak dalam aktiviti lumba haram yang bukan sahaja membahayakan, malah langsung tidak memberi apa-apa manfaat.
Sumber: Astro Awani
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?