PROTON e.MAS 7 PHEV – Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik pengeluar kereta nasional PROTON, secara rasmi mengumumkan pembukaan tempahan bagi Proton e.MAS 7 PHEV serba baharu, sekali gus menandakan pengenalan model Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) pertama jenama itu di Malaysia.
Pelancaran pembukaan tempahan ini turut disertakan dengan satu pencapaian unik apabila Proton e.MAS 7 PHEV berjaya menamatkan pemanduan siaran langsung selama 25 jam sejauh lebih 1,100 kilometer, dari Pulau Pinang ke Johor Bahru melalui Lebuhraya Utara–Selatan, sebelum berakhir di PROTON Centre of Excellence (COE). Pemanduan yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan membuktikan keupayaan sebenar sistem dwi-kuasa PHEV dalam keadaan pemanduan dunia sebenar di Malaysia.
Menariknya, kenderaan yang sama digunakan sepanjang perjalanan tersebut tanpa perlu mengisi minyak atau mengecas sebelum tiba ke destinasi akhir, sekali gus menegaskan kecekapan tenaga, kepraktisan serta kesesuaian Proton e.MAS 7 PHEV untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.

Seiring dengan pembukaan tempahan, PRO-NET turut mendedahkan harga anggaran Proton e.MAS 7 PHEV dalam lingkungan RM110,000 hingga RM130,000, sekali gus meletakkannya sebagai pilihan menarik dalam segmen kenderaan elektrifikasi di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata pengenalan e.MAS 7 PHEV merupakan langkah penting bagi jenama Proton e.MAS yang sebelum ini memfokuskan kepada EV sepenuhnya.
“Proton e.MAS 7 PHEV direka untuk rakyat Malaysia yang mahu menikmati pemanduan elektrik dalam kehidupan seharian tanpa perlu bimbang tentang perjalanan jarak jauh. Dengan membuka tempahan selepas pemanduan jarak jauh ini, kami membuktikan bahawa model ini benar-benar sesuai dengan keperluan sebenar pengguna tempatan,” katanya.

Proton e.MAS 7 PHEV dipacu oleh teknologi PHEV terkini yang mengutamakan pemanduan elektrik, digabungkan dengan fleksibiliti enjin petrol untuk situasi tertentu. Sistem ini merangkumi pengurusan sumber kuasa pintar, penukaran automatik antara mod EV dan hibrid, sistem transmisi hibrid khusus 11-dalam-1, serta penggunaan bateri LFP (Lithium Ferro Phosphate).
Untuk pemanduan harian, kenderaan ini kebanyakannya beroperasi dalam mod EV atau hibrid siri, di mana enjin petrol tidak memacu roda secara terus, sebaliknya menjana tenaga elektrik untuk mengecas bateri atau menyalurkan kuasa kepada motor elektrik. Apabila memandu di lebuh raya atau mendaki cerun panjang, sistem akan mengaktifkan klac bagi membolehkan enjin petrol memacu roda secara terus atau bekerjasama dengan motor elektrik, memastikan keseimbangan terbaik antara prestasi dan kecekapan.
Gabungan ini menawarkan pengalaman pemanduan yang senyap, lancar dan praktikal, sama ada untuk kegunaan bandar, perjalanan hujung minggu mahupun perjalanan jarak jauh antara negeri.

Tempahan Proton e.MAS 7 PHEV kini dibuka kepada orang ramai. Pelanggan boleh membuat tempahan di bilik pameran Proton e.MAS sah di seluruh negara atau melalui laman web rasmi Proton e.MAS dengan hanya yuran tempahan RM99.
Sebagai keistimewaan pemilik awal, pelanggan turut layak menikmati rebat RM500 ke atas yuran tempahan, tertakluk kepada terma dan syarat, dan terhad kepada 5,000 pelanggan terawal.
Dengan pengenalan Proton e.MAS 7 PHEV, PRO-NET memperkukuhkan komitmennya dalam memacu transformasi ke arah mobiliti lestari di Malaysia, sambil menawarkan penyelesaian praktikal untuk pengguna yang mahukan teknologi elektrifikasi tanpa kompromi terhadap jarak pemanduan dan kemudahan harian.

Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?