Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) menjelaskan bahawa isu kelewatan ambulans dalam insiden kemalangan yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun minggu lalu adalah disebabkan maklumat lokasi yang tidak tepat semasa panggilan kecemasan dibuat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, panggilan pertama diterima pada jam 3.05 petang dengan maklumat menyatakan kejadian berlaku di kawasan perumahan Puncak Jelapang, kira-kira lapan kilometer dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Susulan itu, ambulans segera digerakkan ke lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, setibanya pasukan perubatan di tempat yang dimaklumkan, tiada kemalangan ditemui. Semakan lanjut melalui panggilan semula kepada pemanggil mendapati lokasi sebenar kejadian adalah di Lebuhraya Ipoh–Lumut menghala ke Jelapang.
Ambulans kemudian bergegas ke lokasi yang betul dan tiba pada jam 3.55 petang. Pemeriksaan segera dilakukan terhadap dua mangsa, iaitu seorang wanita berusia 33 tahun dan anak perempuannya yang berumur tiga tahun.
Wanita tersebut dilaporkan mengalami kecederaan serius, manakala kanak-kanak berkenaan tidak sedarkan diri ketika ditemui. Prosedur bantuan kecemasan termasuk resusitasi dilakukan di lokasi sebelum kedua-duanya dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB. Usaha menyelamat terhadap kanak-kanak itu diteruskan sepanjang perjalanan ke hospital.
Dalam kejadian pada 10 Februari, mangsa, Chong Zee Han, meninggal dunia selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandu ibunya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan sebuah MPV polis jenis Honda Civic 1.5L, menyebabkan perlanggaran berlaku di Jalan Ipoh–Lumut berhampiran Puncak Jelapang.
Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.
Sumber: KOSMO
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?