Penduduk dan pelancong ke Pulau Langkawi kini berdepan kekurangan jadual perjalanan feri selepas syarikat pengendali utama, Ferry Line Ventures Sdn Bhd, terpaksa mengurangkan trip harian daripada lima kepada hanya tiga perjalanan bermula semalam.
Langkah drastik ini diambil bagi menampung kenaikan mendadak harga diesel industri yang melonjak lebih 100 peratus, mencecah paras RM7.00 seliter.
Pengurus Besar Ferry Line, Dr. Baharin Baharom, menjelaskan bahawa syarikat tidak mempunyai pilihan lain untuk mengekalkan operasi dan mengelakkan pemberhentian pekerja berikutan kos bahan api yang tidak lagi mampan.
Walaupun langkah ini menimbulkan rasa kurang senang orang ramai, Dr. Baharin menegaskan bahawa persepsi syarikat hanya mementingkan keuntungan adalah tidak tepat.
Beliau mendedahkan bahawa kadar tambang feri ke Langkawi adalah antara yang terendah di Malaysia, iaitu sekitar 88 sen bagi setiap batu nautika, berbanding RM2.00 di pulau-pulau lain seperti Tioman dan Pangkor.
“Langkah mengurangkan perjalanan daripada lima kepada tiga trip sehari adalah perlu bagi membolehkan syarikat terus beroperasi dan mengelak pemberhentian pekerja,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Pihak pengusaha feri sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan bagi memohon pelaksanaan caj tambahan (surcharge), namun sehingga kini masih belum ada keputusan muktamad.
Tanpa mekanisme penyelesaian yang adil, industri feri di Langkawi dikhuatiri akan terus tertekan, sekaligus menjejaskan sektor pelancongan pulau peranginan itu.
Kenaikan harga diesel di Semenanjung yang kini berada pada paras tertinggi sejarah turut memberi kesan rantaian kepada kos logistik dan pengangkutan awam lain di seluruh negara.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?