Hasrat untuk menyeludup masuk 20 ekor lembu yang dipercayai untuk pasaran korban dari Thailand tidak kesampaian apabila perbuatan itu dihidu dan dipatahkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) pada Isnin.
Kejadian yang berlaku di kawasan sempadan negara itu mencatatkan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM225,000.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi tersebut berjaya dilaksanakan selepas pasukan petugas menggunakan teknologi dron iaitu mini Unmanned Aerial Vehicle (UAV) untuk melakukan tinjauan di sekitar kawasan sempadan.
Pasukan itu telah mengesan pergerakan sebuah lori tiga tan dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira pukul 6.45 petang.
Melalui pemantauan udara menggunakan UAV tersebut, pihak berkuasa mendapati terdapat kira-kira 20 ekor lembu berada di wilayah Thailand sedang menunggu masa untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan Sungai Golok.
Sebaik sahaja serbuan dilakukan di lokasi kejadian, seorang lelaki yang dipercayai warga tempatan bertindak melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa.
Suspek tersebut telah meninggalkan kenderaan bersama muatannya di lokasi kejadian sebelum anggota keselamatan tiba.
Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati kesemua 20 ekor lembu itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit import yang sah.
Pihak TDM kemudiannya merampas kesemua haiwan ternakan itu bersama sebuah lori jenis Isuzu tiga tan yang digunakan untuk mengangkut muatan tersebut.
Susulan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Stol, Rantau Panjang di Pasir Mas.
Kesemua barangan yang dirampas termasuk lembu dan kenderaan telah diserahkan kepada pihak Kastam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga untuk tindakan undang-undang selanjutnya.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?