SHAH ALAM – Seorang wanita berusia lingkungan 50-an cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah kedai menjual kuih di Leboh Bangau, Taman Berkeley, Klang, pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang pembantu kedai wanita berusia lingkungan 30-an turut mengalami kecederaan selepas dirempuh kenderaan berkenaan ketika berada di dalam premis.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit baru selesai membeli barangan sebelum kembali ke keretanya yang diparkir di hadapan kedai tersebut.
Menurut beliau, wanita berkenaan dipercayai tersalah memasukkan gear sebelum secara tidak sengaja menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan itu bergerak secara tiba-tiba ke hadapan.
“Akibat kejadian itu, kereta berkenaan melanggar bahagian hadapan kedai serta merempuh seorang pembantu kedai yang sedang bekerja di dalam premis,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke hospital swasta yang berasingan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Inspektor Kishen Raj di talian 011-26249291 bagi membantu siasatan.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?